Wednesday, December 26, 2018

FENDIxBANDUNG | DARI KUALA LUMPUR KE JAKARTA - BANDUNG

Assalamualaikum...

Tarikh bercuti : 
21 April - 24 April 2018 ( Sabtu - Selasa )

Penerbangan : 
Air Asia

Harga Tiket : 
RM 350.00 ++ seorang (ambil luggage semasa penerbangan balik)

Pengangkutan : 
Teksi, Grab, Keretapi 


Graf keterujaan aku untuk bercuti sudah semakin menurun. Kalau orang tak bersungguh ajak, memang aku tak akan follow. Oleh sebab Oey mintak temankan dia shopping di Bandung, jadi aku ikutkan saja. Sekali lagi ditekankan, aku hanya temankan dia. Tapi itulah, yang meneman ni takkan sekadar tengok saja-saja, mesti sangkut juga membeli belah di sana.

Destinasi utama kami sudah semestinnya adalah Bandung tapi oleh sebab tiket ke Bandung pada waktu itu agak mahal, kami sepakat untuk ambil penerbangan ke Jakarta kemudian akan naik keretapi ke Bandung. Memang sudah lama nak rasai lagi pengalaman naik keretapi Jakarta - Bandung. Sebelum ini memang pernah rasa sekali tetapi agak tak puas sebab banyak habiskan masa dengan tidur dalam koc.

Percutian kami ini asal main redah, konon-konon macam perjudikan nasib. Sudah lah hari hujung minggu, berani-berani pulak nak ambil keretapi sedangkan memang hujung minggu adalah hari untuk warga kota di Jakarta-Bandung bercuti.

Dari Malaysia, kami dah ada sim kad. Dapat dari seorang member yang baru balik dari Bandung. Masing-masing kalau pergi bercuti buat senyap sendiri je. Lepas tu, post di whatapps status. Kantoi di situ. Cerita pasa sim kad ni agak tragis dan buat aku hangin satu badan. Nanti akan diceritakan.


Untuk percutian ini, kami tidak ambil luggage semasa penerbangan pergi. Hanya ambil luggage untuk balik sahaja sebab risau terlebih muatan. Maklumlah, kalau ke Bandung tak bawa balik oleh-oleh memang tak sah.


Penerbangan pergi (KUL - CGK) - seperti biasa, kami akan tinggalkan kenderaan di Stesen ERL Bandar Baru Salak Tinggi, kemudian naik ERL ke KLIA 2. Masa nak boarding tu, kena timbang beg. Kan pihak Air Asia sudah kuatkuasakan berat bagasi cuma 7kg sahaja dibenarkan untuk hand carry. Aku dah dapat agak yang berat beg aku akan lebih dari 7kg tapi aku tawakal. Staf yang jaga tu lepaskan aku masuk walaupun berat beg aku cecah 9kg tapi dapat juga amaran, tidak dibenarkan tambah apa-apa lagi muatan bila dah masuk ke balai pelepasan.


Silap pada diri aku juga. Aku bawa jeans banyak dan juga baju tebal. Kemudian, aku bawa selipar dan sepasang lagi kasut. Satu pengajaran untuk diri aku. Kalau tak beli luggage, jangan pandai-pandai nak bawa semua jenis harta karun untuk bercuti.



 Pasport jangan lupa bawa. Acara wajib untuk post pasport dan boarding pass dalam media sosial. Aku cuma post dalam instagram dan whatsapp status sahaja. Untuk insta, itu sebagai tanda kenangan dan kepuasan untuk diri sendiri. Untuk whatsapp status, aku nak maklumkan yang aku nak pergi bercuti. At least, kawan-kawan maklum dan doakan yang baik-baik untuk aku. Selain dari itu, siapa yang berani tanya aku ke mana dan minta kirim something, kira nasib lah kan. Aku biasanya tak akan hampakan permintaan orang.

Nak berlepas. Seat aku paling belakang. Aku memang tak pernah beli seat. Tak kisah Air Asia nak campak aku duduk seat mana-mana pun.

Jakarta Soekarno Hatta International Airport - Aku rasa airport Jakarta macam dah semakin besar. Kalau sebelum ini, masuk sahaja ke airport terus nampak kaunter imigresen tapi untuk kali ini, kami perlu berjalan jauh. Letih juga berjalan tambahan lagi kami kejarkan masa untuk ke Stesen Keretapi Gambir untuk bergerak ke Bandung. Tiket memang belum beli. Ikut nasib,kalau ada rezeki dapatlah kami bergerak siang. Kalau tiket habis, nak tak nak kena juga beli tiket malam.

Aku dan Oey dah set yang kami akan ambil Grab untuk ke Stesen Keretapi Gambir sebab lebih murah tapi malangnya berlaku drama sim card yang tidak boleh digunakan. Aku sempat singgah kedai serbaneka untuk topup sim card. Masih juga tidak berfungsi. Jenis aku ni memang akan hangin kalau apa yang dirancang tak menjadi. Oleh sebab sim card tak boleh guna sahaja, mood aku swing habis.

Kami ambil kata sepakat untuk gunakan perkhidmatan teksi. Book teksi. Mahal juga kadar sewa yang dikenakan. Kalau dalam duit Malaysia, lebih kurang RM80.00. Redha sahaja lah, nak buat macam mana. Bila dah separuh jalan, aku "godek2" handphone. Aduiii silap aku sendirilah sebab tak pilih setting dalam handphone. Handphone aku boleh guna dua sim, jadi kena pilih sim mana yang nak digunakan. 

Mall Tanah Abang. Tempat makcik-makcik dan akak-akak shopping borong.

Aku mengaku, salah aku sendiri sebab tak terfikir akan benda ni. Sampai sahaja di Stesen Keretapi Gambir, kami terus meluru ke kaunter tiket. Seperti yang dah dijangka, tiket untuk siang dah habis. Yang ada cuma perjalanan jam 6.00 petang. Kecewa gila waktu tu sebab waktu kami sampai, baru pukul 2.30 petang. Nak menunggu ke 6.00 petang tu lama sangat. Aku diam, Oey pun diam. Sama-sama diam sebab mati akal. Tak tahu apa aktiviti yang boleh kami buat sementara nak menunggu petang. Kalau di Indonesia, jam 6.00 petang tu dah masuk Maghrib. 

Tiket keretapi aku. Gunakan perkhidmatan Argo Parahyangan. Harga tiket tak ingat tapi mungkin dalam RM30.00 ++. Masa di kaunter tiket, staf akan minta pasport sebagai rekod. Kemudian, nama kita akan dicetak di atas tiket.

Perut kami dah lapar, jadi kami singgah makan di kedai dalam stesen keretapi. Makan bakso. Barulah otak boleh berfikir nak buat apa untuk isi masa senggang yang ada.  Aku google tempat menarik yang berdekatan dengan stesen keretapi, banyak juga list yang ada. Jadi, kami ambik beberapa tempat yang menarik sahaja. Kalau nak pergi semua tempat, memang tak terkejar masa pula. Sudahlah Jakarta terkenal dengan kesesakan jalan raya. 

Beg kami yang berat tu nak letak mana pula? Tak kan nak bawak ke hulu ke hilir. Patah bahu weii..ini baru hari pertama. Jangan risau, Oey dah nampak loker untuk simpan barang. Ada kedai kecil yang menyediakan perkhidmatan simpanan barang. Alhamdulillah. Sangat memudahkan. 

Monumen Nasional (MONAS) - Kami sebenarnya hendak ke Kota Tua Jakarta tapi bila tanya angkutan, tambang macam mahal je. Terus tak jadi nak pergi. Jadi, kami jalan kaki ke Monumen Nasional (MONAS) untuk jalan-jalan sambil ambil gambar. Waktu itu, tengah ada persiapan untuk satu acara. Rasanya macam acara kempen untuk pilihanraya sebab banyak poster digantung. Kami tak naik ke menara MONAS sebab itu bukan tujuan utama kami. Lagipun kami pernah naik atas waktu pertama kali bercuti di Jakarta. Di atas cuma lihat-lihat pemandangan dan kotaraya Jakarta. Beratur pun panjang kami tengok. Banyak rombongan sekolah. Maklumlah, datang pun masa cuti hujung minggu.



Pasar Baroe - Bosan juga duduk melepak di MONAS. Kami ambik angkutan terus ke Pasar Baroe. Aku tak tahu kewujudan tempat ini sebenarnya. Hasil daripada google, baru tahu yang Pasar Baroe juga merupakan salah satu tempat popular untuk shopping cuma ia kelihatan macam pasar lama. Masa kami naik angkutan tu, bapak angkutan tanya hendak turun di mana? Di pintu gerbang atau di dalam? Kami tak pernah jejak kaki di situ, memang tak dapat imagine apa yang dimaksudkan. Aku cakap turunkan kami di pintu gerbang sahaja. Confident level aku memang tinggi.

Bila sampai tu, betul lah jawapan aku. Kiranya pintu gerbang ni permulaan untuk Pasar Baroe. Kami tak tahu nak cari apa di sini. Niat asal untuk berjalan-jalan dan tengok-tengok tempat orang. Kalau ada benda menarik untuk dibeli, kami akan beli.


Hurmmm..rupanya Pasar Baroe ini memang menarik. Kalau nak cari toko-toko yang menjual pakaian berasaskan batik, boleh cari di sini. Oey teruja sebab dia memang nak cari baju batik. Selain daripada batik, ada juga kedai jeans dan baju-baju kasual lain. 

 Jambu Bangkok nampak menarik tapi warnanya macam guna pewarna. Aku beli ke tidak ye haritu? Tak ingat sudah. Yang pasti, kami beli air dan aku beli kuih. Kuih jual tepi jalan menarik perhatian nafsu dan tekak aku sungguh.





Aku pandang je es cendol durian ni tapi aku menyesal kenapa aku tak singgah beli? Ohh mungkin waktu itu, aku dah kenyang minum air dengan kuih yang aku beli tepi jalan.

Seronok naik angkutan beroda tiga ni. Advantures sikit sebab main cilok-cilok di tengah bandar.

Sangat letih menunggu di stesen keretapi. Dari siang sampai maghrib. Ini menjadi satu pengalaman buat aku. Mungkin aktiviti naik train dari Jakarta - Bandung ini adalah yang kali kedua dan terakhir buat aku.

Sesak. Menunggu train tiba. Bila dah dapat naik train, rasa lega sangat. Dapat rehatkan diri dan tidur.

Kami tiba di Stesen Keretapi Bandung dalam jam 9.00 malam. Waktu kami tiba, hujan gerimis. Keluar sahaja dari stesen, supir-supir dah memanggil-manggil kami. Niat kami nak gunakan Grab ke hotel penginapan, tapi sekali lagi malang nasib sim kad aku bermasalah. Entah apa lagi yang menyebabkan sim kad tak boleh guna pun aku tak tahu. Akhirnya, tahan teksi ke hotel dalam hujan renyai-renyai. Itu lah, sombong lagi kan. Konon-konon tak pandang teksi, nak sangat naik Grab kan? Last-last? Teksi juga yang membantu.


Hotel Pasar Baru Square - Sebenarnya jarak dari Stesen Keretapi Bandung ke Hotel tidak berapa jauh. Kalau rajin nak berjalan, boleh sahaja jalan kaki. Oleh sebab hari sudah malam ketika kami sampai, tidaklah kami rajin sangat. Lagipun dah penat.

Kami menginap di Hotel Pasar Baru Square. Lokasinya berhadapan dengan Pasar Baru Mall. Selak sahaja langsir sudah nampak mall. Harga untuk satu malam lebih kurang RM100++. Kenapa kami pilih hotel ini? Sebab dekat dengan tumpuan ramai, jadi senang kalau ada apa-apa kecemasan boleh jerit mintak tolong. Mall pun depan mata, kalau ada barang tak cukup, anytime boleh lari pergi beli.

 Diambil pada awal pagi. Warga Bandung keluar cari rezeki. Awalnya nampak lengang, tapi sekejap sahaja kaki lima penuh dengan orang.

Hotel yang kami inap sepanjang di Bandung. Hotelnya bangunan yang atas. Bahagian bawahnya adalah mall. Biliknya bersih.

aksarafendi

No comments:

Post a Comment