Monday, October 24, 2011

JANGKA HAYAT RAKYAT MALAYSIA 75 TAHUN


KUALA LUMPUR - Rakyat negara ini dijangka mampu mencapai umur 75 tahun bagi lelaki dan 80 tahun bagi wanita menjelang tahun 2020 berdasarkan tahap kesihatan penduduk yang semakin meningkat.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, jangka hayat itu jauh lebih baik daripada sekarang di mana lelaki mampu mencapai usia 70 tahun dan wanita 75 tahun.
"Kerajaan mula menyemai betapa penting menjaga tahap kesihatan menerusi kanak-kanak seawal usia di sekolah rendah. Dengan program begini ia diharap mampu mendidik rakyat lebih peka terhadap kesihatan diri," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Majlis Program Gaya Hidup Sihat serta Sambutan Hari Jantung Sedunia di Komuniti Penduduk Kediaman Penjawat Awam Jalan Duta di sini semalam.
Jelasnya, biarpun kadar kematian pramatang meningkat dari tahun ke tahun akibat penyakit tidak berjangkit tetapi tidak menjejaskan jangka hayat penduduk negara.
"Seramai 11,812 kematian akibat sakit jantung dicatatkan sepanjang tahun lepas melibatkan individu yang berusia kurang 60 tahun," jelasnya.
Rosnah berkata, penduduk negara ini mampu bersama-sama menjalani hidup sihat seperti berhenti merokok, mengamalkan pemakanan seimbang dan menjauhi minuman alkohol bagi memastikan jangka hayat dapat ditingkatkan.
* Petikan dari Kosmo 24 Oktober 2011
Kataku : Banyak-banyak berdoa semoga panjang umur...

No comments:

Post a Comment