24 September 1993 (
Jumaat )
Waktu itu, aku darjah
3 bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor. Hari
Jumaat ( tahun 1993 hari Jumaat hari cuti hujung minggu ). Abah terlantar di
pembaringan. Tekebil-kebil mata dia, cuba untuk berborak tapi satu patah suara
tidak keluar dari mulut dia. Maklumlah, orang tengah sakit. Strok pulak tu.
Mati seluruh badan. Langsung tidak boleh bergerak. Mak sedang berikan makan
tengahari untuk abah tapi abah tak nak menjamah makanan. Mungkin sudah kenyang,
cuma dia dengan emak je yang tahu. Kami? Anak-anak dia memang langsung tak
faham butir patah kata yang cuba dia sampaikan sampaikan ada satu ketika, abah
sangat marah sebab kami tidak mengendahkan permintaan dia.
Beberapa minit
kemudian, nafas abah bersekat-sekat. Emak bergegas meredakan dan menenangkan
abah. Emak sudah agak kelam kabut dan Kak Angah aku pergi mendapatkan abah dan
cuba juga menenangkan abah. Emak berlari ke rumah jiran sebelah dan memanggil
meminta tolong. Dari jauh aku hanya dapat melihat tanpa ada perasaan. Aku agak
kabur pada saat itu, apakah yang sebenarnya terjadi. Hati tidak berdebar, tiada
perasaan sedih atau apa-apa jua perasaan waktu itu. Aku terdiam dan buat endah
tak endah atas apa yang berlaku sebentar tadi.
Jiran aku sampai
bersama Cikgu Ghazali ( juga jiran aku ). Mereka rasa nadi abah, nadi sudah
tidak berdenyut. Nafas sudah tidak dihela. Anggota badan sudah terasa sejuk.
“
Dah tak ada...Innalillahiwainnailaihirajiun..”
Mak menunduk dan
menitis air mata..Mak suruh kami ambil air sembahyang dan bacakan Yaasin untuk
arwah abah. Abang-abang aku dah pergi masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Mak
minta aku dan kakak pergi ke rumah pakcik aku untuk maklumkan apa yang jadi.
Waktu itu telefon bimbit tidak mampu dimiliki. Dalam perjalanan ke rumah pakcik
yang tidak berapa jauh dari rumah kami, kakak aku mengangis teresak-esak. Aku?
Masih lagi tiada perasaan. Entah, aku tahu abah dah tiada lagi, tapi kenapa aku
seperti patung? Tiada rasa, tiada jiwa?...
Selepas solat Jumaat,
ramai yang datang menjenguk rumah kami. Urusan memandikan jenazah, solat
jenazah sehingga lah mengebumikan jenazah dilakukan oleh penduduk kampung.
Saudara mara dan nenek aku dari Batu Pahat bergegas datang menziarahi.
Perasaan sedih aku
tiba-tiba datang. Seolah-olah satu tamparan hebat di muka aku dan seperti ada
suara dan perasaan yang datang memberitahu apa yang aku alami sekarang. Air
mata mula menderu-deru saat jenazah abah dibawa ke tanah perkuburan untuk
disemadikan. Ya..baru kini aku ada perasaan..perasaan sedih yang memukul-mukul
dada aku.. Allah..Kau telah mengambil insan yang aku sayangi. Aku sempat
berteduh di bawah kasih sayang abah hanya untuk tempoh 9 tahun sahaja. Engkau
menyayangi dia kerana dia seorang abah yang sangat bertanggungjawab kepada
keluarganya.
Tahun-tahun kemudian
aku lalui hidup dengan bergelar seorang anak yatim. Emak bekerja siang malam
mencari rezeki untuk membesarkan kami 8 beradik. Kini, kasih sayang dan tumpuan
aku hanya untuk emak.
24 September 2011 (
Sabtu )
18 tahun sudah abah
pergi meninggalkan kami. Sedar tak sedar masa berlari terlalu pantas. Semoga
roh abah tenang di SANA bersama orang-orang beriman dan sentiasa mendapat
keredhaan Allah SWT selalu. Kami di dunia ini sentiasa mengingati KEHEBATAN
Abah sebagai seorang ayah yang KUAT dalam mendewasakan kami.
AL-
FATIHAH
Kataku : Dari DIA kita datang dan pada DIA kita kembali
Alfatihah... Semoga roh nye dicucuri rahmat disana.. Amin..
ReplyDelete